TERKINI

6/recent/ticker-posts

SEJARAH PEMULIHARAAN KOTA LAMA DUYONG 1996-1999

PEMULIHARAAN KOTA LAMA DUYONG 1996-1999

Salah satu peranan muzium adalah pemuliharaan. Pemuliharaan monumen Kota Lama Duyong diberi tumpuan bagi tujuan mengekalkan keadaan asal monumen tersebut supaya generasi hari ini dapat melihat tentang kehebatan generasi terdahulu. 


Sesebuah bangunan warisan hendak dipulihara, aspek utama yang menjadi matlamat adalah kepentingan budaya, nilai sejarah dan senibina.  


Kota Lama Duyong merupakan  salah satu monumen yang dikawalselia oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu. Monumen tersebut dimiliki oleh Nik Mohahamd bin Hitam yang dianugerahkan dengan gelaran Dato’ Biji Sura ketika menyandang jawatan sebagai Hakim Besar di Mahkamah Syariah.


Kota Lama Duyung telah dibina secara berperingkat dari tahun 1914 dan siap sepenuhnya pada tahun 1920. Proses pembinaan monumen ini bermula dengan perpindahan Rumah Bujang Berpeleh, diikuti dengan pembinaan bahagian lain rumah seperti Rumah Tengah, Rumah Depan, Sorong Hadapan, Sorong Belakang, Dapur, Bilik Mandi, serambi dan tembok batu.


Setiap bahagian rumah mempunyai jenis bumbung yang berlainan serta kaya elemen-elemen ukiran. Tiang dan dinding batu mempunyai pengaruh senibina  asing seperti Corinthian atau Mesir.


Ketika kajian dilapidasi dijalankan, monumen ini  telah mengalami banyak kerosakan akibat proses rombakan disebabkan pembahagian harta kepada waris-waris dan juga faktor bencana alam kecuali  sebahagian Rumah Bujang Berpeleh yang terbiar dan tembok batu yang hampir runtuh.


Kajian telah dijalankan dengan mengumpul maklumat daripada waris dan penduduk sekitar bagi mengenalpasti aspek reka bentuk bangunan asal. Maklumat tersebut penting bagi tujuan kerja-kerja pembinaan semula sebagaimana pelan asal, ketulenan  bahan binaan serta kaedah pembinaan. Kerja-kerja pemuliharaan monumen ini mula dijalankan pada tahun 1996 hingga 1999 dengan menggunakan kaedah saintifik dan sistematik.


Monumen yang terletak di Pulau Duyong Kecil ini merupakan satu-satunya dibina menggunakan batu simen dan dikelilingi dengan tembok menyebabkan monumen ini dikenali dengan nama “Kota Duyong”. Istimewanya tembok ini dibina dengan gabungan bahan lepaan semulajadi seperti kulit kerang, pasir, putih telur (itik), kapur tohor dan madu. 


Tahun 2021, pihak Muzium Negeri Terengganu sekali lagi akan menjalankan kerja-kerja pemuliharaan secara keseluruhan. Dengan usaha ini, Kota Lama Duyung lebih terpelihara dan terus menjadi sumber rujukan.

Sumber : Terengganu State Museum

Catat Ulasan

0 Ulasan