Empat peniaga dikompaun gagal pamer tanda harga di Karnival Siam Festival Kuala Terengganu 2022
Kuala Terengganu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu telah melakukan pemeriksaan mengejut ke atas gerai-gerai yang menjalankan operasi perniagaan di Karnival Siam Festival Kuala Terengganu 2022 di Batu Buruk semalam.
Dalam pemeriksaan yang melibatkan seramai 8 orang Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Terengganu ini, sebanyak 4 buah premis jualan makanan yang diperiksa didapati masih gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual dan ia merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 2 (1) Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020.
Tindakan kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah diambil dan kompaun keseluruhan sebanyak RM1200 telah dikeluarkan ke atas 4 buah premis gerai tersebut di atas kegagalan untuk mematuhi akta yang dikuatkuasakan.
Sebelum ini, beberapa anggota Penguat Kuasa KPDNHEP telah ke lokasi yang sama dan menasihatkan peniaga agar meletakkan tanda harga pada setiap barangan jualan mereka.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan sentiasa peka terhadap hak-hak sebagai seorang pengguna sebelum membuat sesuatu pembelian supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang cuba mengambil keuntungan dengan cara mudah.
Pengguna boleh membuat pilihan untuk tidak membeli sekiranya didapati sesuatu barangan itu ditawarkan dengan harga yang tinggi atau tidak munasabah.
Sekiranya pembelian tetap dibuat, tindakan ini sebenarnya mendorong peniaga yang tidak beretika untuk terus mengambil keuntungan yang tinggi melalui jualan mereka dan amalan ini akan berterusan.
Pihak peniaga juga digesa untuk sentiasa mematuhi arahan yang sedang berkuat kuasa dan mempamerkan tanda harga pada barangan yang diniagakan supaya tidak berlaku kekeliruan terhadap pengguna yang mahu mendapatkan barangan di gerai-gerai mereka.
Pihak KPDNHEP juga mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
0 Ulasan
Terima Kasih kerana memberi kerjasama