TERKINI

6/recent/ticker-posts

Nafuzi Zain Tidak Bersama Terengganu FC lagi? KENYATAAN RASMI MEDIA TERENGGANU FOOTBALL CLUB SDN BHD

 ðŸ“ƒKENYATAAN RASMI MEDIA TERENGGANU FOOTBALL CLUB SDN BHD 

Pihak pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB)  mengucapkan tahniah kepada semua pegawai dan pemain Terengganu FC di atas kejayaan di saingan Liga Super, dengan menamatkan saingan di tempat kedua liga sekaligus layak ke saingan Piala AFC 2023, serta muncul naib juara saingan Piala FA dan baru sahaja layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia. Kejayaan ini dilihat hasil daripada kerja kuat semua pihak termasuk pihak kelab, kerajaan negeri, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), rakan penaja, rakan media dan juga para penyokong dan peminat setia Terengganu FC..


Untuk menjawab isu berkenaan pihak pengurusan TFCSB berdiam diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media berkenaan perkara yang berlegar di setiap ruang media pada ketika ini yang melibatkan pengendali pasukan Terengganu FC, Nafuzi Zain ( Pegawai ) adalah kerana pihak pengurusan memilih untuk mengutamakan fokus pasukan dalam saingan Liga Malaysia yang pada ketika ini masih berlangsung demi untuk mencapai sasaran pasukan sepertimana yang telah ditetapkan diawal musim. Ini kerana kita melihatkan motivasi dan reputasi pasukan pada ketika ini berada di tahap terbaik dan ianya perlu diteruskan dan dijaga agar fokus para pemain khususnya tidak terganggu. 


Namun begitu, apa yang telah dilakukan oleh pengendali pasukan ini sendiri amatlah mengejutkan pihak pengurusan apabila secara terang-terangan telah membuat kenyataan media yang membidas pihak pengurusan dan ini sedikit sebanyak telah mencalarkan perhubungan diantara dua pihak. Pihak pengurusan pada awalnya bertindak untuk hanya berdiam diri atas dasar tidak ingin fokus pasukan terganggu, namun dilihat perkara ini terus berlarutan apabila pengendali Terengganu FC ini terus menerus membuat kenyataan media yang sekaligus merosakkan imej kelab ini dan ini memaksa pihak TFCSB terpaksa memberi penjelasan berkenaan isu-isu berbangkit demi untuk menjaga maruah kelab dan pengurusan ini.


Berdasarkan isu lambat menawarkan kontrak profesional kepada ketua jurulatih tersebut, merujuk kepada Perkara 9 : Melanjutkan tempoh kontrak, 9.1 : Kelab hendaklah dalam masa 30 Hari sebelum tamat kontrak ini memberi notis kepada pegawai untuk melanjutkan kontrak. Pihak kelab juga mengesahkan telahpun mengutuskan surat tawaran pelanjutan kontrak bertarikh 27 Oktober 2022 berdasarkan kemampuan kelab yang telah disampaikan melalui Pembantu Operasi Unit Teknikal TFCSB  kepada pegawai sebelum tamatnya kontrak pegawai pada 30 November 2022. 9.3 Pegawai hendaklah menyatakan kepada kelab menerima/menolak atau meletakkan tarikh perundingan terma-terma kontrak dalam masa 14 hari. Pihak majikan telahpun mematuhi terma dalam kontrak ini dengan menawarkan kontrak pada pegawai dalam tempoh yang ditetapkan dalam perkara 9. Perkara ini menjawab kepada persoalan menuduh pihak pengurusan melengah-lengahkan penawaran lanjutan kontrak kepada pegawai. Namun demikian, dalam tempoh tersebut pihak pengurusan tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pegawai sehinggalah beliau mengeluarkan kenyataan secara terbuka kepada media.


Namun demikian, pihak pengurusan merasa terkilan apabila dituduh tidak profesional dengan menyatakan bahawa pihak pengurusan lambat menawarkan lanjutan kontrak kepada pegawai sedangkan pihak pengurusan telah mendapati pegawai tersebut telah berunding dan menandatangani perjanjian lebih awal  bersama salah sebuah pasukan di Liga Super pada bulan Ogos 2022 lagi, iaitu sebelum kenyataan pertama  beliau semasa sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang Penang FC berkaitan dengan menyatakan tahun ini kemungkinan besar tahun terakhirnya bersama pasukan ini. Keadaan ini telah melanggar terma dan syarat kontrak kelab dimana pegawai tidak boleh menandatangani perjanjian dengan mana-mana pasukan selagi mana beliau masih terikat dengan kontrak kelab. Tindakan kurang profesional pegawai dalam menentukan halatuju beliau dan seakan-akan ingin mencalarkan imej pengurusan kelab dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan meletakkan kesalahan kepada pengurusan  sebelum beliau meninggalkan kelab ini adalah tidak wajar.


Sebagai seorang pegawai yang telah menabur khidmat bersama pasukan bolasepak di negeri Terengganu sejak 7 tahun lepas, ianya sesuatu yang amat mendukacitakan apabila beliau cuba mengakhirinya dengan cara seperti ini.



Pihak TFCSB akan meneliti tindakan lanjut yang akan diambil kepada pihak pegawai di atas segala kenyataan dan perkara yang telah beliau lakukan kerana ianya telahpun mencalarkan imej kelab ini secara nyata.


Sekian, terima kasih.


Ab Rasid bin Jusoh

Ketua Pegawai Eksekutif

Terengganu Football Club Sdn Bhd 


#TerengganuFC

#WeBleedBlackAndWhite

Catat Ulasan

0 Ulasan