HULU TERENGGANU, 16 Ogos - Hayati semangat kemerdekaan seperti yang ditujukan pejuang kemerdekaan negara terdahulu kerana keberanian dan kecekalan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan itu wajar dihayati dan dihargai kerana sifat kepahlawanan mereka telah membawa kebebasan hari ini untuk mencorakkan masa depan negara tercinta.
Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata,
semangat yang ditiupkan ulama dahulu begitu padu hinggakan ramai
sanggup mengetepikan kepentingan peribadi demi kelangsungan dan maruah
agama, negara dan bangsa.
"Mereka menyuntik rasa kesedaran kepada masyarakat agar bersama-sama
menggalas tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan negara.
“Telah tiba masanya untuk kita pula menyambung perjuangan mereka dalam
mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara. Kita juga perlu
mempertahankan kedaulatan tanah air kita ini dengan sebaik mungkin agar
anak-anak dan generasi seterusnya akan turut dapat mengecapi kebebasan
seperti mana yang kita miliki sekarang," ujarnya ketika merasmikan
Program Merdeka @ komuniti info on wheels Dun Ajil di Dataran Kampung
Tok Dor Pagi ini anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu semalam.
Justeru itu katanya, mereka yang berjiwa merdeka dan patriotisme akan
menghargai sejarah, pahit getir dan kegigihan perjuangan generasi
terdahulu memerdekakan negara.
"Malangnya, ada sesetengah pihak yang cuba mengubah fakta sejarah untuk
mengelirukan generasi muda dengan maklumat dan informasi songsang yang
menimbulkan kesangsian kepada fakta sebenar dan sejarah.
"Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan
menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik
peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya
dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati
ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila.
"Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah
pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak
tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang," jelas
Maliaman.
Tambah beliau lagi, semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh
dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat
tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu,
anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang
memiliki semangat patriotik yang tinggi.-URUSETIA PENERANGAN DARUL IMAN.
Kredit: http://www.terengganu.gov.my/maxc2020/portal/cms/orange/index_news.displaynews.php?fromfile=index.php&counthit=1&newsid=6393
0 Ulasan
Terima Kasih kerana memberi kerjasama